30 MAC : Sebanyak 15,215 kes positif baharu COVID-19 dikesan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara kini meningkat kepada 4,167,418.
Sebanyak 236,023 kes positif aktif dilaporkan dengan 230,081 individu menjalani isolasi di rumah masing-masing 4,843 pesakit dirawat di hospital, manakala 817 pesakit lagi menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Malaysia juga mencatatkan 64 kematian akibat COVID-19 semalam, dengan Perak merekodkan mangsa terbanyak iaitu seramai 20 pesakit termasuk dua kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Data daripada laman sesawang COVIDNOW menunjukkan, sebanyak 14 daripada keseluruhan kes kematian yang dilaporkan semalam adalah kes BID.
Selain Perak, kes kematian akibat COVID-19 turut dilaporkan di Kedah dengan lapan kematian termasuk dua kes BID; Selangor (tujuh); Pulau Pinang (enam termasuk satu kes BID); Johor (lima kes termasuk dua kes BID); masing-masing empat kes di Negeri Sembilan (satu kes BID) dan Sarawak (dua kes BID); Kelantan (tiga kes BID); masing-masing dua kes di Melaka, Pahang dan Sabah (satu kes BID) dan satu kematian di Terengganu.