30 MAC: Shanghai hari ini memperluaskan arahan perintah berkurung di sebahagian kawasan pelabuhan di bandar berkenaan selepas merekodkan 5,982 kes jangkitan tempatan COVID-19.
Shanghai yang dihuni 26 juta penduduk memasuki hari ketiga perintah berkurung dengan mengasingkan bandar di sepanjang Sungai Huangpu dan daerah Pudong bagi memberi laluan kepada saringan secara berperingkat.
Meskipun penduduk di timur sudah dikenakan perintah berkurung sejak Isnin lalu, masyarakat di barat dijadual menjalani arahan sama bagi tempoh empat hari berkuat kuasa Jumaat ini.
Bagaimanapun, daerah di barat daya Minhang, yang diduduki lebih 2.5 juta penduduk, mengumumkan bahawa ia akan menghentikan perkhidmatan bas sehingga 5 April depan.
Beberapa penduduk di daerah barat, semalam juga diberikan pemakluman daripada jawatankuasa perumahan bahawa mereka dikehendaki untuk kekal berada di dalam kawasan rumah bagi tempoh tujuh hari.
Keputusan itu dibuat sebagai kawalan pandemik, selain sekiranya jiran mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kes positif.
“Kami menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada semua penduduk! Kita akan kembali ke kehidupan biasa tidak lama lagi, tetapi dalam tempoh berikutnya, kami minta semua untuk mematuhi arahan kawalan pandemik, jangan berkumpul dan kurangkan pergerakan,” menurut satu notis.
Bandar berkenaan merekodkan 5,656 kes COVID-19 tanpa gejala dan 326 kes dengan gejala pada 29 Mac, iaitu peningkatan berbanding 4,381 kes baharu tanpa gejala dan 96 kes baharu dengan gejala, sehari sebelumnya.
Perintah berkurung itu turut merencatkan pengeluaran di bandar terbabit, memandangkan dua syarikat pengeluar terbesar, Aptiv dan Thyssenkrupp kini berdepan nasib sama dengan Tesla untuk menghentikan operasi kilang berikutan arahan kawalan wabak. – REUTERS