30 MAC : Universiti Teknologi MARA (UiTM) diarah oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memberi penjelasan berhubung isu tular satu klip video yang memaparkan seorang pensyarah didakwa menghina pelajarnya kerana tidak memiliki komputer riba.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, menerusi satu ciapan di Twitter miliknya memberitahu, beliau sudah pun berhubung dengan pihak pengurusan universiti berkenaan untuk memberi maklum balas.
“Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini. Saya sudah berhubung dengan pihak UiTM untuk mereka memberi penjelasan,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat tular memaparkan pensyarah wanita memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.
Menerusi rakaman itu, pensyarah wanita berkenaan turut mencadangkan pelajar terbabit meminta kakaknya menjual gelang emas bagi membantunya membeli komputer riba.