31 MAC: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan semua data dan maklumat yang diperoleh menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera adalah hak milik penuh dan mutlak kerajaan.
Beliau berkata sebelum aplikasi itu dilancarkan pada 20 April 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan telah memeterai Perjanjian Ketakdedahan (NDA) dengan KPISOFT Sdn Bhd pada 1 April 2020, dengan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Antara terma utama yang terkandung dalam perjanjian NDA itu, katanya, termasuklah berkenaan hak milik setiap data dan maklumat yang diperoleh menerusi penggunaan MySejahtera adalah hak milik penuh dan mutlak Kerajaan.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa segala data yang tersimpan di dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara dan bagi tujuan kawalan pandemik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja.
“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera adalah tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan piawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan mengenai isu membabitkan MySejahtera di Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan data membabitkan kira-kira 38 juta pengguna MySejahtera dihadkan tempoh simpanan dalam aplikasi terbabit, sebelum dihapuskan sepenuhnya.
Katanya, langkah itu bagi memastikan data berkenaan khusus digunakan untuk kawalan COVID-19 semata-mata, serta mengatasi risiko kecurian data peribadi pengguna rakyat Malaysia.
Jelasnya, merujuk instrumen kawal selia kewangan seperti diamalkan negara zon ekonomi Eropah serta United Kingdom, sesebuah rekod data disimpan untuk tempoh maksimum tujuh tahun sahaja dan selepas itu perlu dihapuskan.