31 MAC: Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur secara mampan dan mengukuhkan komitmennya terhadap konsep agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan memberi manfaat kepada pasaran modal negara dan juga rakyat.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia didorong oleh komitmen KWSP terhadap dua matlamat pelaburan mampan yang menyeluruh iaitu pematuhan ESG menjelang 2030 dan portfolio neutral iklim menjelang 2050, Polisi Pelaburan Lestari KWSP, Dasar Isu Keutamaan, dan Dasar Sektor Keutamaan.
Ini merupakan langkah tambahan dalam usaha memperkukuh amalan yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bertanggungjawab secara sosial, serta tadbir urus korporat yang kukuh, dalam kalangan syarikat penerima pelaburannya.
“Kerajaan percaya bahawa dengan menginstitusikan dasar ESG dalam pelaburan KWSP, manfaatnya akan dapat dirasai sepanjang rantaian nilai pasaran modal Malaysia, yang juga akan memanfaatkan Rakyat,” katanya pada pelancaran polisi pelaburan lestari KWSP di Kuala Lumpur, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, malahan, jaminan daripada kesemua 16 Pengurus Dana Luaran KWSP untuk menerapkan pertimbangan ESG dalam membuat keputusan pelaburan mereka dan bekerjasama dengan KWSP untuk mempromosikan agenda ESG merupakan satu titik permulaan yang baik.
Bagaimanapun, katanya, dalam usaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan menyelaraskan dasar-dasar dengan piawaian atau rangka kerja global, prinsip dan pendekatannya mesti disesuaikan dengan objektif nasional, serta keperluan tempatan.