31 MAC: Seramai 11,128 pelajar sepenuh masa institusi pengajian tinggi (IPT) dan 19,194 usahawan B40, berjaya mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), dari 1 Januari 2021 hingga 28 Februari lalu.
Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan, hari ini, melalui skim berkenaan, golongan B40 dan pelajar sepenuh masa IPT akan menikmati penjimatan sebanyak RM60 bagi pendaftaran perniagaan menggunakan nama tred; pendaftaran menggunakan nama sendiri seperti dalam kad pengenalan (RM30); serta cetakan maklumat perniagaan (RM10).
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, berkata suruhanjaya itu memperkenalkan SPPP bagi menyokong usaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan golongan berkenaan.
Beliau ketika berucap merasmikan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22), hari ini, turut menyarankan supaya golongan B40 dan pelajar IPT seluruh negara untuk memanfaatkan SPPP yang menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma dengan SSM.
Dalam pada itu, PUM22 anjuran SSM membabitkan lebih 1,000 pelajar Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) Putrajaya, Pusat Latihan GIATMARA Kuala Lumpur, serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Putrajaya.
Program dalam talian itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dalam menguruskan sesebuah perniagaan.
Nor Azimah memaklumkan, PUM22 merupakan program khas bagi memberi kefahaman berkaitan tatacara serta perundangan yang ditadbir SSM berhubung pendaftaran perniagaan.
Selain itu, faedah mendaftarkan perniagaan, strategi perniagaan dan pengurusan kewangan, strategi pemasaran digital dan perkongsian oleh usahawan berjaya.