31 MAC : Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Pejuang, Tun Mahathir Mohamad bagi membincangkan kerjasama baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang nanti.
Perkara itu didedahkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini dalam sidang akhbar selepas perjumpaannya dengan Pejuang Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Mengulas berkenaan pertemuan itu, Mukhriz berkata, ia berlangsung kira-kira dua minggu lalu, setelah BERSATU tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Mukhriz, setakat ini PEJUANG kurang bersetuju dengan apa yang dicadangkan dalam pertemuan itu dan belum memberikan kata putus berhubung tawaran penggabungan itu.
“Mungkin saya boleh katakan, buat masa ini kita kurang bersetuju dengan apa yang dicadangkan untuk bergabung dengan kerajaan memerintah.
“Ketika ini memang banyak perjumpaan di sebalik tabir berlaku dengan semua pihak bukan hanya dalam kalangan pembangkang malah pemimpin kerajaan,” ujarnya
Dr. Mahathir dilaporkan semalam berkata, Pejuang terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk Bersatu dan Pas dalam PRU-15 jika kalangan mereka ikhlas dan bersih.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu menafikan Pejuang, Bersatu, Gerakan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menubuhkan Gerakan Pejuang Nasional (GPN).
Sementara itu, Mukhriz menyifatkan hubungan antara Muhyiddin dan Mahathir masih lagi dingin
“Luka kami belum pulih, masih berdarah lagi.
Tetapi kami faham demi negara dan rakyat, tiada benda yang kami tidak sanggup buat kalau dengan niat yang betul,” katanya