31 MAC : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Persidangan Kerajaan Dunia 2022 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersempena Ekspo 2020 Dubai, petang ini waktu tempatan.
Perdana Menteri menerusi perkongsian di laman Facebook berkata, persidangan yang mengangkat tema ‘Shaping Future Governments’ atau ‘Membentuk Kerajaan Masa Hadapan’ turut dihadiri Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai.
Ismail Sabri berkata, persidangan terbesar selama dua hari yang bermula semalam itu menghimpunkan ketua negara serta pakar pelbagai bidang dari seluruh dunia.
Ia turut mengetengahkan pelbagai isu termasuk isu global, ekonomi dan pentadbiran menerusi lebih 100 sesi yang diadakan.
“Menerusi persidangan itu, ketua-ketua dunia dapat membincangkan kerjasama masa hadapan bagi mendepani cabaran luar jangka seperti pandemik COVID-19,” katanya yang turut berkongsi gambar menghadiri persidangan itu.
Perdana Menteri singgah di Dubai semalam selepas lawatan rasmi tiga hari ke Qatar sejak Sabtu lalu. – BERNAMA