1 APR: Seramai lima juta pelancong antarabangsa dijangka berkunjung ke Johor sempena pembukaan semula sempadan negara hingga Disember ini.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim, berkata daripada jumlah itu, kira-kira satu juta pelancong dari Singapura disasar berkunjung ke negeri ini sepanjang bulan ini.
“Sehingga hujung tahun ini, kita menyasarkan lima juta pelancong luar akan datang ke Johor dan kadar ini diambil berdasarkan 50 peratus daripada kadar (ketibaan) pelancong pada 2019 yang merekodkan sebanyak 10 juta pelancong dari luar negara.
“Bagi tempoh dua minggu ini, pastinya akan dilihat limpahan pelancong dari Singapura yang datang untuk membeli-belah khususnya ketika musim Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya selepas menyambut ketibaan penerbangan antarabangsa pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Kulai, hari ini.
Turut hadir menyambut pesawat AK1491 dari Ho Chi Minh (SGN) yang membawa kira-kira 90 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Vietnam itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr R Santhara Kumar.
Suhairi berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan penggiat industri pengangkutan udara untuk memastikan lebih banyak penerbangan antarabangsa, serantau dan domestik ke Johor.
“Enam bulan ini adalah masa terbaik untuk kita lihat perubahan kemasukan pelancong ke Johor seperti yang berlaku ketika prapandemik misalnya dari Singapura, Indonesia dan Vietnam.
“Kita juga akan cuba bawa pelancong dari China dan Asia Barat ke negeri ini yang ketika ini dalam proses perbincangan bersama syarikat penerbangan negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai persediaan dilaksanakan untuk merancakkan kembali aktiviti pelancongan di negeri ini termasuk memberi kursus dan latihan kepada penggiat industri khususnya membabitkan sektor inap desa.
“Sebelum ini inap desa agak ketinggalan tetapi untuk tahun ini kita akan cuba promosi lebih banyak kerana Johor mempunyai 27 perkampungan yang akan dimajukan untuk dijadikan projek rintis demi kemajuan sektor inap desa di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Santhara Kumar berkata, kehadiran pelancong sempena pembukaan semula sempadan negara bukan saja dapat merancakkan sektor pelancongan di Johor, tetapi dilihat dapat membantu ekonomi penduduk setempat. – BERNAMA