1 APRIL : PAS tetap mempertahankan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) selaras dengan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyatukan ummah.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya tetap istiqamah dalam hal itu biarpun wujud banyak spekulasi mengenai hubungan kedua-dua parti berkenaan.
“PAS juga sedia menerima mana-mana parti yang mempunyai prinsip dan hala tuju sama dengannya dalam menyatukan ummah. Kita berhubung dengan semua orang, kita terbuka (kerana) nak menyatukan ummah, menyatukan orang Islam, menyatukan masyarakat majmuk.
“Kita usaha nak menyatukan MN, tidak terhad kepada dua parti sahaja (PAS dan UMNO). Mana-mana parti yang boleh terima konsep kita, dasar itu (iaitu) perpaduan ummah kita terima.
“Kita masih usaha (pertahankan MN) selaras (usaha) dengan PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Parti berkenaan menurut Abdul Hadi sebelum ini tidak pernah menutup pintu untuk bekerjasama dengan UMNO walaupun terdapat perbezaan pendapat dan terdahulu pada November tahun lalu, menolak gagasan MN yang terbelenggu dengan pembabitan hanya dua parti itu sahaja.
PAS dan UMNO, dua parti Melayu terbesar di negara ini membentuk pakatan berkenaan pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan matlamat utama menyatukan undi Melayu-Islam.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada perhimpunan agung parti itu pertengahan bulan lalu juga menegaskan, hayat kerjasama UMNO dengan PAS melalui MN masih belum berkubur meskipun hubungan di antara kedua-dua parti kian retak.
Bagaimanapun, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan pada perhimpunan sama, mengucapkan sayonara kepada PAS yang didakwanya degil untuk terus bersama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding UMNO di bawah MN.