1APR: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Ahad ini.
Ramadan tahun ini disambut umat Islam dalam keadaan negara mengisytiharkan fasa peralihan ke endemik.
Tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini bersamaan 29 Syaaban 1443 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan itu turut menyatakan proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara.
Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.