2 APR: Kerajaan Jepun meluluskan sekatan baharu terhadap Korea Utara berhubung ujian tembakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baru-baru ini.
Ia berikutan gesaan Washington supaya hukuman antarabangsa yang lebih keras dilaksanakan terhadap negara bersenjata nuklear itu.
Jepun sudahpun mengharamkan perdagangan dan kemasukan kapal sebagai sebahagian daripada sekatan bersifat unilateral terhadap Pyongyang.
Namun, semalam Jepun akan menetapkan empat kumpulan dan sembilan individu yang terbabit dalam pembangunan nuklear dan peluru berpandu.
Jurucakap tertinggi kerajaan, Hirokazu Matsuno, berkata semua entiti dan individu terbabit akan tertakluk kepada pembekuan aset.
Tindakan Jepun itu dibuat selepas Washington menggesa satu resolusi untuk mengemas kini dan mengukuhkan rejim sekatan terhadap Pyongyang di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu susulan pelancaran ICBM pertama rejim berkenaan sejak 2017.
Menurut Korea Utara, pelancaran itu adalah ujian kejayaan peluru berpandu Hwasong-17, iaitu ICBM jarak jauh yang menurut penganalisis ia mungkin mampu membawa beberapa kepala peledak, di mana ia pertama kali diperkenalkan pada perarakan tentera pada 2020.
Namun, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberitahu AFP bahawa Seoul dan Washington sudah membuat kesimpulan bahawa pelancaran itu sebenarnya adalah Hwasong-15, iaitu sebuah ICBM yang diuji Pyongyang pada 2017.
Namun, pakar mengatakan pelancaran itu menunjukkan kemajuan yang ketara.
Ia juga membimbangkan Jepun, terutamanya apabila peluru berpandu itu mendarat di dalam zon ekonomi eksklusifnya. – AFP