2 APR: Umat Islam di Malaysia kembali menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 .
Selain itu, jemaah dapat merapatkan saf dan menyemarakkan program ihya Ramadan apabila negara kini beralih ke fasa endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan khas sempena Ramadan berkata, bagaimanapun perkara berkenaan tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
“Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada Keluarga Malaysia yang beragama Islam serta seluruh Muslimin dan Muslimat di mana sahaja berada.
“Sepanjang kita diuji dengan pandemik COVID-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardu dan tarawih berjemaah terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Alhamdulillah, kita kini dalam fasa peralihan ke endemik yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal,” katanya hari ini.
Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad telah mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa mulai esok.
Ismail Sabri berkata, beliau percaya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan yang lepas.
Walaupun diberikan kelonggaran, katanya pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan dan orang ramai diminta jangan leka serta terus mengamalkan kawalan kendiri.
Sempena Ramadan ini. beliau turut menasihati orang ramai supaya mengambil peluang menginsafi diri dan mengumpul pahala dengan memperbanyakkan amalan bersedekah.
“Semoga bulan Ramadan dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia dan pada masa sama amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan bukan sahaja dengan Maha Pencipta tetapi juga dengan sesama manusia.
“Sekali saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam. Ramadan disyukuri, insafi diri,” ujarnya.