2 APR: Kertas siasatan kes kematian bayi, Nour Rania Asyifaa Yuseri pada Februari lalu, yang dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan sebelum ini telah dikembalikan bagi siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata ia susulan beberapa arahan lanjut perlu diambil tindakan bagi melengkapkan siasatan berkenaan.
Katanya, polis mengambil masa menyiasat kes itu kerana perlu mendapatkan beberapa laporan daripada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, adil dan saksama.
“Polis tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, polis juga mengambil maklum kerisauan keluarga mangsa dan orang ramai berkaitan siasatan kes berkenaan.
“Polis menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi, dan memberikan ruang serta masa bagi memastikan siasatan dibuat secara komprehensif dan holistik,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 22 Februari lalu, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas dipercayai kepalanya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Seremban, namun perkembangan siasatan masih belum menunjukkan perkembangan positif.
Justeru, bapa bayi malang itu, Yuseri Yusoff, 39, yang mahukan keadilan kepada arwah anaknya memberi tempoh dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.