3 APRIL : Semua akses kepada platform media sosial disekat oleh kerajaan Sri Langka hari ini, selepas pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di seluruh negara bagi membendung bantahan yang semakin meningkat berhubung krisis ekonomi negara itu.
Pemerintah negara itu menyekat akses kepada platform termasuk Twitter, Facebook, WhatsApp, YouTube dan Instagram.
AFP turut mengesahkan, tiada satu pun daripada lima platform itu boleh diakses daripada penyedia perkhidmatan internet tempatan.
Facebook, YouTube, Twitter, Instagram dan WhatsApp adalah antara platform yang ditutup oleh penyedia perkhidmatan internet atas arahan pihak berkuasa pertahanan, kata saluran berita pro-kerajaan Ada Derana.
Polis mengesahkan seorang aktiviti media sosial ditahan Jumaat lalu, kerana didakwa memuat naik bahan yang boleh menghasut dan menggugat ketenteraman awam.
Penguasa Kanan Polis, Nihal Thalduwa berkata, juga mengesahkan sekatan yang dikenakan ke atas platform media sosial.
Sekatan itu dibuat selepas kerajaan semalam melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara ketika protes terhadap pengendalian kerajaan terhadap krisis ekonomi bertukar menjadi ganas.
Thalduwa berkata, setakat ini, 664 orang yang melanggar peraturan perintah berkurung ditahan di wilayah Barat, bahagian pentadbiran paling ramai penduduk di negara itu termasuk Colombo.
Pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Telekomunikasi Jayantha de Silva pula berkata, pihak berkuasa mengenakan sekatan ke atas media sosial berikutan arahan daripada kerajaan.