3 APRIL : Beberapa rakyat Malaysia melahirkan kesyukuran dan kegembiraan kerana dapat merasai suasana yang berbeza ketika bertarawih dan berpuasa ketika melakukan umrah di Tanah Suci Mekah.
Bagi Pengarah Urusan Rienz Travel & Tours Sdn. Bhd, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz, para jemaah Malaysia begitu teruja apabila diberitahu akan berpuasa sehari awal dari Malaysia.
“Mereka memang sudah bersedia. Apabila dapat bertarawih di Masjidil Haram, mereka dapat merasai kelainan. Ada yang sebak apabila mendengar bacaan imam dalam solat tarawih,” katanya.
Seorang jemaah Malaysia, Yahaya Chik, 63, yang merupakan seorang pesara polis, berada di Tanah Suci Makkah ketika Ramadan memang tidak pernah terlintas baginya.
“Ini pertama kali saya dapat mengerjakan umrah. Ini juga pertama kali saya dapat bertarawih dan berpuasa di sini. Pelbagai perasaan timbul termasuk sebak, sedih, gembira dan terharu kerana Allah SWT memberi peluang untuk saya beribadah di sini,” katanya dalam nada sebak.
Seorang usahawan dari Manjung, Perak, Zulkefli Abu Bakar, 45, berkata, pelbagai persepsi termasuk rasa risau melanda dirinya ketika hendak datang mengerjakan umrah kerana penularan Covid-19 masih belum berakhir.
“Tapi syukur kerana SOP di sini memang ketat. Yang penting kita patuh. Ramai jemaah yang dapat mengerjakan umrah, tarawih dan puasa dengan selesai dan semua ini tidak menyusahkan kerana mutawif ada memberi nasihat dan penjelasan mengenai SOP ketika di Tanah Suci Mekah. Saya gembira kerana dapat bertarawih dan berpuasa di sini,” katanya.
Manakala bagi seorang ahli perniagaan dari Taiping, Perak, Kader Maideen, 52, berpuasa di Makkah tidak pernah terfikir olehnya walaupun sebelum ini pernah mengerjakan umrah.
“Saya bersyukur kerana Allah SWT memberi kesempatan untuk saya mengerjakan tarawih dan puasa dalam Ramadan di Tanah Suci Makkah.
“Lebih mengejutkan apabila puasa di sini awal sehari dari Malaysia. Puasa di sini memperlihatkan terlalu banyak aktiviti sedekah. Aktiviti sedekah masa Ramadan di sini tidak pernah terhenti. Ramai orang menghulurkan sedekah terutama makanan untuk berbuka puasa,” ujarnya.