4 APR: Kabinet Sri Lanka menyaksikan peletakan jawatan menteri secara beramai-ramai pada mesyuarat lewat malam tadi, kata menteri pendidikan.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika protes antikerajaan meningkat walaupun perintah berkurung dilaksanakan di negara Asia Selatan yang mempunyai 22 juta penduduk tersebut.
Menteri Pendidikan, Dinesh Gunawardena, berkata kesemua 26 menteri selain Presiden, Gotabaya Rajapaksa dan abangnya yang juga Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa, meletak jawatan.
“Semua menteri menyerahkan surat peletakan jawatan mereka supaya presiden boleh membentuk kabinet baharu,” katanya.
Menurutnya, keputusan itu diambil selepas membincangkan krisis ekonomi yang semakin teruk.
Tiga lagi ahli keluarga Rajapaksa yang berkuasa adalah antara mereka yang meletakkan jawatan di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.
Tindakan itu dibuat selepas beribu-ribu orang menentang perintah berkurung hujung minggu lalu dalam usaha menuntut penyingkiran keluarga Rajapaksa, yang kembali berkuasa pada November 2019. – AFP