4 APRIL : Pencarum yang membuat permohonan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 secara ‘one-off’ boleh membuat semakan mulai 9 April ini.
KWSP menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, orang ramai boleh melakukan semakan tersebut melalui portal https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/.
Dalam kenyataan itu, KWSP turut memaklumkan bahawa pemohon juga tidak perlu untuk mengakses i-Akaun mahupun mengunjungi kios dan cawangan KWSP bagi tujuan tersebut.
Pengeluaran khas KWSP telah mula dibuka pada 1 April lalu sehingga 30 April ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19 pada 16 Mac lalu.
KWSP memaklumkan, bayaran bagi pengeluaran khas akan dibuat secara sekali pembayaran (single payment) kepada pencarum yang layak pada 20 April ini.