5 APR: Pembangkang Sri Lanka semalam menolak pelawaan mewujudkan kerajaan perpaduan dan menuntut Presiden Gotabaya Rajapaksa meletakkan jawatan.
Usul Rajapaksa itu hadir ketika tentera bersenjata berusaha menghentikan lebih banyak demonstrasi susulan krisis ekonomi terburuk negara itu sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang cuba menyerbu rumah persendirian Perdana Menteri, iaitu abang sulung presiden dan ketua puak politik di Tangalle, yang pernah menjadi benteng sokongan untuk keluarga itu di selatan negara pulau itu.
Ratusan lelaki dan wanita mengepung pejabat Presiden dan Perdana Menteri di ibu negara, Colombo selama beberapa jam semalam ketika pasukan polis bersenjata menghalang mereka masuk.
Awal pagi semalam, presiden meminta parti pembangkang di Parlimen untuk ‘bersama menyertai usaha mencari penyelesaian kepada krisis negara’ selepas peletakan jawatan hampir semua menteri kabinet pada lewat malam sebelum itu untuk membuka jalan kepada pentadbiran yang dirombak.
Pelawaan itu bagaimanapun segera ditolak.
“Kami tidak akan menyertai kerajaan. Keluarga Rajapaksa harus berundur,” kata Eran Wickramaratne daripada parti pembangkang utama, Samagi Jana Balawegaya (SJB) kepada AFP.
Ahli Parlimen daripada Barisan Pembebasan Rakyat (JVP) berhaluan kiri, Anura Dissanayake, berkata presiden itu benar-benar gila untuk memikirkan ahli parlimen pembangkang akan menyokong kerajaan yang semakin runtuh.
Abraham Sumanthiran dari Perikatan Kebangsaan Tamil pula mengatakan, tawaran membentuk semula kabinet dengan ahli parlimen pembangkang adalah mengarut dan menimbulkan kemarahan orang ramai yang menuntutnya meletak jawatan.
Lewat kelmarin, seluruh anggota kabinet Sri Lanka kecuali presiden dan abangnya, Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa, meletak jawatan.
Gabenor Bank Pusat Negara, Ajith Cabraal, yang sekian lama menentang jaminan kewangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang sedang dicari oleh negara kepulauan Asia Selatan itu juga meletakkan jawatan semalam.
Sehari selepas peletakan jawatan beramai-ramai, presiden melantik semula empat menteri terbabit dengan tiga daripada mereka memegang portfolio lama, manakala abangnya, Basil Rajapaksa sebagai menteri kewangan digantikan dengan ketua hakim sebelumnya.
Kekurangan mata wang asing yang kritikal menyebabkan Sri Lanka bergelut untuk melunaskan hutang asingnya yang melonjak AS$51 bilion (RM215.22 bilion), diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pendapatan penting daripada pelancongan dan kiriman wang.
Ia mengakibatkan kekurangan makanan dan bahan api yang tidak pernah berlaku sebelum ini bersama-sama dengan rekod inflasi dan pemotongan bekalan kuasa tanpa tanda-tanda berakhirnya masalah ekonomi. – AFP