5 APR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi China Great Wall Industry Corporation di Putrajaya.
China Great Wall Industry Corporation ialah sebuah syarikat yang diberi kuasa oleh kerajaan China untuk terlibat dalam kerjasama antarabangsa bagi bidang aeroangkasa.
Kunjungan itu diketuai oleh Naib Presidennya, Yang Yunli.
Ka Siong berkata, mereka membincangkan mengenai teknologi aeroangkasa termasuk dron dan sistem navigasi satelit global.
“Syarikat induk, China Aerospace Science and Technology Corporation, kini menjalankan projek utama mereka antaranya pembinaan kapal angkasa, stesen angkasa serta penerokaan bulan dan planet Marikh.
“Dalam masa sama, kami juga membincangkan mengenai trend pembangunan teknologi dron dan sistem navigasi satelit global.
“Memandangkan industri dron negara kita masih di peringkat awal, banyak yang perlu kita pelajari dari China mengenai penggunaan dron, peraturan dan aspek keselamatannya supaya ia boleh digunakan dengan lebih meluas dan menyeluruh di negara kita,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dron akan memainkan peranan yang lebih penting pada masa hadapan terutamanya dalam industri pertanian di Malaysia.
Ka Siong yang menyifatkan kecanggihan sistem navigasi satelit global China sukar dinafikan memberitahu, sistem navigasi satelit global kini telah bergerak ke arah pembinaan dan pembangunan yang lebih tepat, lebih berfungsi, lebih pintar dan lebih dipercayai.
“Sistem navigasi satelit global juga kondusif dalam menyelia dan memantau pergerakan atau lalu lintas di perairan, darat dan udara sambil dapat menguruskan keselamatan serta pengangkutan dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ka Siong turut dijemput melawat kilang syarikat berkenaan di Beijing, China, untuk mengukuhkan dan meningkatkan pertukaran idea serta kerjasama teknologi aeroangkasa antara Malaysia dan China, dan meneruskan perbincangan berkaitan pembangunan masa depan teknologi aeroangkasa.