4 APRIL : Tiada sebarang siasatan baharu dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, di mana menurutnya kali terakhir Dr Mahathir yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu dipanggil PDRM adalah pada 23 Mac lalu.
“Pada tarikh terbabit, Tun Dr Mahathir dipanggil untuk membantu siasatan kes terbitan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
“Rakaman percakapan beliau diambil hanya sebagai saksi bagi menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam buku dihasilkan oleh bekas Peguam Negara terbabit berjudul ‘My Story: Justice In The Wilderness,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan Dr Mahathir dalam satu kenyataan hari ini mendakwa beliau akan dipanggil untuk disoal siasat, bagaimanapun tidak menyatakan sebab siasatan itu.
Dalam kenyataan bertajuk Keadilan Malaysia yang dimuat naik menerusi medium sosialnya itu juga, beliau menyebut beberapa perkara berkisar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.