5 APRIL : Polis menahan seorang Youtuber terkenal ditahan polis negeri ini berikutan kematian seorang wanita dipercayai kekasihnya di sebuah kediaman kenalan mereka di Teluk Kumbar, Pulau Pinang Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal menerusi satu kenyataan hari ini berkata, lelaki berusia 20-an bersama tiga lagi rakannya ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Daerah Barat Daya sejak Isnin hingga hari ini.
Penahanan keempat-empat suspek itu menurut Kamarul Rizal dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau mengenai pesakitnya yang tidak sedarkan diri dan kritikal 2 April lalu.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut pihak hospital mendapati terdapat kesan lebam lama dan dan baharu di seluruh tubuh mangsa yang berusia 20 tahun itu.
Mangsa, kata beliau, kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.
Bertindak atas maklumat, pihaknya kemudian menahan teman lelaki wanita itu bersama tiga lagi rakannya bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
“Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kekerasan atau objek tumpul. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku,” katanya.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.