5 APRIL : Dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes jenayah dan dadah maut ditembak dalam satu insiden berbalas tembakan di Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi hari ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan dalam sidang media hari ini, kejadian itu belaku ketika pihaknya sedang melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic dalam keadaan mencurigakan di Kampung Wakaf Beruas.
Pihak polis katanya telah meminta pemandu berkenaan untuk memberhentikan kenderaannya namun mereka bertindak melarikan diri sebelum pihak polis mengejar dan berjaya menghalangnya.
“Secara tiba-tiba salah seorang penumpang di dalam kenderaan tersebut telah melepaskan satu das tembakan ke arah pihak polis, maka polis telah melepaskan tembakan kembali ke arah suspek.
“Kita berjaya mengejar suspek tersebut lebih kurang 300 meter yang cuba melarikan diri daripada tempat kejadian pertama dan dipercayai suspek telah bersembunyi dalam sebuah rumah kosong yang berhampiran dan kita telah berjaya mengepung dan meminta suspek untuk menyerahkan diri.
Malangnya suspek tidak keluar daripada rumah tersebut,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, susulan itu pihaknya berjaya memasuki rumah berkenaan namun suspek terus bertindak liar dengan melepaskan tembakan ke arah pihak polis namun terkena penghadang sebelum pihaknya membalas kembali tembakan tersebut.
Katanya susulan insiden tembakan itu seorang suspek telah meninggal dunia di dalam kenderaan tersebut manakala seorang lagi di dalam rumah kosong.Pihaknya sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek.