7 APR : Lebih 50 rakyat Malaysia dipercayai menjadi tawanan di beberapa negara seperti Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Thailand oleh sindiket penipuan dalam talian.
Perkara itu didedahkan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, yang memaklumkan pihaknya menerima panggilan telefon daripada sejumlah mangsa pada Februari lalu, meminta diselamatkan.
Beliau berkata, mangsa mendakwa sudah menjadi tawanan sindiket sejak dua hingga enam bulan lalu selepas diperdaya dengan ditawar dan dijanjikan bekerja sebagai telepemasaran dengan gaji tinggi antara AS$3,000 (RM12,650) dan AS$4,000 (RM16,870 sebulan) sebulan.
“Kami sedang bekerjasama dengan pihak kedutaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelamatkan mangsa terbabit.
“Kami juga merayu golongan muda supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah ditipu serta dikaburi dengan gaji tinggi ditawarkan sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.
Pada sidang media itu, Chong turut membuat panggilan video dengan dua lelaki yang mendakwa mereka dikurung dan turut dipukul sindiket di Kemboja.
Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, terdapat 13 rakyat Malaysia termasuk lima wanita berusia antara 17 dan 36 tahun berada dalam kawasan sama dengannya, yang mana mereka dipaksa bekerja sebagai operator penipuan.
“Kami diberitahu supaya menipu pelanggan dan sekiranya gagal, kami akan dikurung dalam bilik tanpa diberikan makanan selama dua atau tiga hari,” katanya.
Seorang lagi lelaki berkata, dia bersama kumpulan berbeza terdiri 50 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita, juga berada di Kemboja.
Lelaki terbabit berkata sebelum itu, sebahagian mangsa memasuki Kemboja menerusi penerbangan atau melalui jalan tidak diwartakan atau jalan tikus.
“Kami bekerja lebih 15 jam untuk menipu pelanggan di seluruh dunia…kami mesti mematuhi arahan atau tidak (enggan) akan mengetahui nasib kami,” katanya. – BERNAMA