7 APR: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan dalam Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini telah ditangguh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan pindaan RUU itu dan ia dihantar balik untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.
“Ya, ia telah ditangguhkan,” katanya dipetik The Star.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat mengenai RUU itu pada Ahad ini dengan memanggil semua ahli Parlimen dan senator.
Katanya, pembentangan pindaan Perlembagaan berkaitan RUU itu akan berlangsung pada Isnin ini untuk memastikan akta Anti Lompat Parti tidak akan melanggar Perlembagaan.
Wan Junaidi berkata, sidang khas Dewan Rakyat tetap diteruskan pada Isnin ini dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat Parti itu dibentangkan kelak.
Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti 2/3 ahli Dewan Rakyat.
Keputusan hari ini bermakna RUU itu akan ditangguhkan buat kali kedua.
RUU itu, pada asalnya dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu, hari terakhir sidang pertama Dewan Rakyat bagi tahun ini.