Lebih 30 orang terbunuh, 100 cedera dalam serangan roket Russia
8 APR : Serangan roket Russia ke atas sebuah stesen kereta api, dekat timur Ukraine hari ini menyebabkan lebih 30 orang terbunuh dan 100 lagi tercedera, ketika orang awam sedang berpindah ke kawasan lebih selamat di negara itu.
Dua roket Russia membedil sebuah stesen di bandar Kramatorsk, yang digunakan sebagai tempat untuk menyelamat orang awam dari kawasan yang dibom oleh tentera Russia.
Syarikat kereta api itu berkata, menurut data operasi, lebih 30 orang terbunuh, manakala 100 lagi cedera dalam serangan roket ke atas stesen kereta api Kramatorsk.
Di pihak Russia pula, mereka tidak memberi komen segera berhubung laporan serangan dan angka kematian yang direkodkan.
Moscow turut menafikan serangan menyasarkan orang awam sejak menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu.
Tiga tren yang membawa orang yang dipindahkan dihalang di wilayah sama dalam Ukraine semalam, selepas serangan udara di laluan itu, dakwa Ketua Ukrainian Railways.
Pegawai Ukraine mendakwa, tentera Russia berkumpul semula untuk melakukan serangan baharu dan Moscow dikatakan merancang untuk merampas seberapa banyak wilayah di bahagian timur Ukraine, dikenali sebagai Donbas yang bersempadan dengan Russia.
Pihak berkuasa tempatan di beberapa kawasan menggesa orang awam untuk meninggalkan kawasan itu sementara masih boleh dan agak selamat berbuat demikian.
Sementara itu, Kementerian pertahanan Russia menafikan bahawa tentera Russia bertanggungjawab terhadap serangan peluru berpandu ke atas stesen kereta api di Kramatorsk, timur Ukraine hari ini, lapor agensi berita RIA.
Syarikat kereta api negara Ukraine berkata, lebih 30 orang terbunuh dan lebih 100 cedera dalam serangan itu, yang berlaku ketika orang awam cuba berpindah ke bahagian yang lebih selamat di negara itu.
Kementerian pertahanan berkata, peluru berpandu itu daripada jenis yang hanya digunakan oleh tentera Ukraine, dan serupa dengan peluru berpandu yang membedil pusat bandar Donetsk pada 14 Mac, membunuh 17 orang, lapor RIA.