8 APR: Bilangan penganggur di Malaysia pada Februari 2022 menurun 1.3 peratus selepas mencatatkan 671,000 orang berbanding 680,400 orang pada Januari 2022, demikian menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Februari 2022.
Oleh itu, kadar pengangguran pada Februari lepas turun kepada 4.1 peratus berbanding 4.2 peratus bulan sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja pada Februari tahun ini pula meningkat 0.3 peratus bulan-ke-bulan kepada 15.73 juta orang berbanding 15.69 juta orang yang dicatatkan pada Januari, manakala bilangan tenaga buruh pula naik 0.2 peratus kepada 16.40 juta orang pada Februari 2022 berbanding 16.37 juta orang bulan sebelumnya.
Mengulas statistik tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata, kedudukan tenaga buruh terus kukuh pada Februari tahun ini didorong oleh operasi berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial pada bulan tersebut.
“Februari menyaksikan peningkatan berterusan dalam penduduk bekerja berikutan lebih banyak permintaan buruh oleh perniagaan serta pewujudan peluang pekerjaan dalam pasaran untuk mengekalkan perniagaan.
“Seterusnya, ia mendorong kepada penurunan dalam bilangan penganggur dan kadar pengangguran yang lebih rendah pada bulan tersebut,” katanya.
Mengenai situasi pengangguran pada Februari itu, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur.
Daripada jumlah penganggur aktif itu, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 56.7 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 7.3 peratus.
Bilangan penganggur belia bagi umur 15 hingga 24 tahun berkurangan 2.1 peratus pada Feb 2022 dengan merekodkan 356,900 orang berbanding 364,500 orang pada Januari 2022.
Mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata, kategori pekerja secara konsisten membentuk komposisi terbesar dalam penduduk bekerja merangkumi sebanyak 76.6 peratus, dan kategori itu juga mencatatkan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.05 juta orang pada Februari 2022 berbanding 12.03 juta orang pada Januari.
Berdasarkan sektor ekonomi, beliau berkata peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja bagi sektor perkhidmatan sebahagian besarnya disumbangkan oleh aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit; serta pengangkutan dan penyimpanan.
Mohd Uzir berkata, kedudukan ekonomi yang semakin pulih pada dua bulan pertama 2022 membolehkan aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk terus beroperasi, lantas mendorong lebih banyak permintaan buruh dalam pasaran bagi memenuhi keperluan operasi perniagaan.
“Situasi ini memberi isyarat positif terhadap pasaran buruh, justeru menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam pasaran buruh, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk kekal kukuh bagi bulan-bulan yang akan datang,” katanya. – BERNAMA