9 APR : Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini mengesahkan seorang kakitangan eksekutif peringkat rendah kumpulan itu, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam rasuah.
Dalam kenyataannya, syarikat minyak dan gas negara itu turut menegaskan ia komited untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan itu dan menentang keras sebarang bentuk salah laku membabitkan kakitangannya.
“PETRONAS bekerjasama erat dengan SPRM sejak 2012 dan akan meneruskan usaha itu bagi membendung rasuah dalam kumpulan ini.
“Kumpulan ini mengamalkan toleransi sifar terhadap gejala rasuah dan akan terus memanfaatkan mekanisme dalaman, bagi membendung salah laku terbabit,” katanya.
Menurut PETRONAS, Kod Tatalaku dan Etika Perniagaan kumpulan itu jelas melarang sebarang permintaan tidak wajar, rasuah dan salah laku membabitkan kakitangan, pengarah dan pihak ketiga yang menjalankan kerja atau perkhidmatan untuk serta bagi pihak syarikat-syarikat dalam kumpulan berkenaan.
SPRM semalam menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai lebih RM2.3 bilion.
Semua perintah tahanan suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun itu masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak. – BERNAMA