10 APR: Kelab Backbencher Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dikenali sebagai Backbencher BN-GRS.
Pertukaran itu susulan penubuhan GRS secara rasmi pada Mac lalu tanpa penyertaan daripada UMNO.
“Dengan sendirinya ia dikenali sebagai Backbencher BN-GRSlah. Saya memang mengalu-alukan perkembangan penubuhan GRS ini kerana kita harus menerima hakikat semasa bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) dulu, kita bertanding atas sebuah gabungan yang besar.
“Ketika itu BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan juga Perikatan Nasional (PN), jadi untuk kita menentukan gabungan tersebut dan akhirnya GRS ditubuhkan. Bagaimanapun UMNO tidak sebahagian daripadanya tetapi menyokong penubuhan ini,” dipetik daripada Sinar Harian hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, melalui gabungan itu, ia akan menentukan kerajaan yang dipimpin stabil dan seterusnya dapat menunaikan tanggungjawab yang dijanjikan pada PRN lalu.
“Ketika ini kita mempunyai dua kumpulan yang besar tetapi yang penting untuk kita menentukan kerajaan stabil agar mereka boleh menunaikan tanggungjawab dan apa yang dijanjikan harus ditunaikan.
“Ini kerana kita yang akan berdepan dengan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, jadi penting pada saya ialah gabungan itu harus melaksanakan apa yang harus dilaksanakan terhadap rakyat Sabah,” katanya.
Salleh sebelum ini secara terbuka mencadangkan supaya GRS didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi sebagai langkah mengukuhkan kerajaan yang dibentuk dalam PRN Sabah yang lalu.