10 APR: Sri Aman dan Serian diisytihar sebagai Kawasan Kawalan Penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang baharu di Sarawak.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Stephen Rundi Utom, berkata ia susulan laporan media Indonesia mengenai wabak ASF di Kalimantan Barat.
“Pada masa sama, babi kampung di Kampung Mapu Kijabu dan Kampung Daha Kisau di Serian disahkan positif ASF oleh makmal Veterinar Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan pengesanan virus ASF pada 6 April lalu di rumah sembelih Krokop Miri, beliau berkata, arahan penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 25, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 sebagai langkah kawalan untuk menghalang penularan penyakit berkenaan.
Rundi berkata, ia bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan dengan berkesan.
Sementara itu, kesemua 275 ekor babi di sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, yang dikesan dijangkiti ASF akan dimusnahkan secepat mungkin.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS), Dr Redzuan Ibrahim, berkata notis pemusnahan binatang berkenaan sudah diserahkan kepada pemilik ladang terbabit, semalam.
Katanya, bagaimanapun kaedah pemusnahannya akan ditentukan dalam masa terdekat selepas satu taklimat diadakan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Semua 275 ekor babi itu akan dilupuskan namun kaedah pelupusan itu belum ditentukan lagi kerana ia membabitkan kemampuan dan keupayaan pasukan serta mengambil kira pelbagai aspek lain yang berkaitan terutama keselamatan.”Namun, agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan terbabit dalam operasi pelupusan babi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pelupusan sepenuhnya itu penting bagi mengelak berlakunya penularan kepada ternakan yang berada di ladang yang lain atau berhampiran.