10 APR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling yang juga Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong dilantik sebagai ketua pembangkang Dewan Negeri Johor yang baharu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan, berkata surat pemakluman akan dihantar ke Pejabat Jurutulis Negeri hari ini.
“Majlis Pimpinan PH Johor bermesyuarat pada 8 April lalu di Muar dan antara lain bersetuju melantik Liew Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor yang baharu.
“Beliau memenangi kerusi N46 Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling pada Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.
“Chin Tong akan menggembleng komitmen wakil rakyat blok pembangkang untuk berperanan secara konstruktif dalam Dewan demi kebaikan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor berkata, pihaknya berharap reformasi DUN Johor yang dirintis kerajaan PH dapat diteruskan.
“Antaranya ialah mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang, mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan, melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri dan pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang.
“PH Johor turut mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengenai pengumuman peruntukan kepada wakil rakyat oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad, menerusi Belanjawan Johor 2022,” katanya.