10 APR: Pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan berusia antara 18 sehingga 20 tahun boleh mendaftar kredit e-tunai bernilai RM150 bermula esok.
Ia turut diberikan kepada pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas membabitkan institusi pengajian tinggi tempatan yang berdaftar.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, golongan itu boleh mendaftar untuk menerima salah satu daripada empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.
“Langkah ini diambil di bawah Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150 di bawah program ePemula.
“Selain daripada RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk pulangan tunai, baucar, mata terkumpul atau ‘coins’ sepanjang tempoh program ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program ePemula akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat ini.
“Data belia akan disemak silang dengan institusi pengajian tinggi tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan,” katanya.
Tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula ini akan bermula esok sehingga 1 Jun 2022, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan dari penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.
Program ePemula dijangka memanfaatkan sehingga dua juta belia.
Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain yang memanfaatkan golongan belia, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html.
Bagi pelbagai manfaat lain khusus untuk belia, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html.