Bantuan khas Aidilfitri tidak tetapkan syarat dos lengkap
11 APR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 diumum kerajaan adalah untuk semua kakitangan awam dan pesara yang layak, termasuk mereka yang tidak mendapat dos imunisasi COVID-19 lengkap.
Perdana Menteri berkata susulan itu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sudah diarah membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April.
“Pengumuman awal oleh saya sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi.
“Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara-perkara lain dalam pekeliling terbabit masih terpakai.
Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Menerusi kenyataan pada 5 April, Ismail Sabri berkata, bayaran itu juga diberikan kepada kakitangan di bawah skim kontrak perkhidmatan dan Kontrak atas Perkhidmatan serta pegawai atas lantikan di bawah program MySTEP.
Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan dan pembayaran dimasukkan pada 25 April ini.