Malaysia terima 48,000 stok ubat antiviral COVID-19
11 APR : Sebanyak 48,000 stok ubat antiviral, Paxlovid keluaran Pfizer tiba di Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd. , bagi merawat penyakit COVID-19 yang disyorkan bagi rawatan pesakit dewasa berusia 18 tahun dan ke atas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, ubat berkenaan juga sesuai untuk golongan usia berkenaan yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala COVID-19 yang teruk.
“Ubat ini juga bukan bertujuan sebagai pengganti vaksin COVID-19 atau pengganti kepada tindakan kesihatan awam bagi mengelakkan dijangkiti virus berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata bagi melawan COVID-19 sebagai ubat antiviral untuk aspek rawatan wabak itu.
“Ubat ini akan diberikan segera selepas seseorang individu dikesan positif COVID-19 dan dalam tempoh lima hari gejala bermula untuk keberkesanan optimum,” katanya.