11 APR: Komitmen kerajaan membentangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Akta Lompat Parti digubal di Dewan Rakyat hari ini untuk menangani tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen ‘melompat parti’ yang menjejaskan kestabilan politik negara.
Langkah diambil kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut dialu-alukan oleh ahli Parlimen pembangkang yang membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.
Anthony Loke (PH-Seremban) berkata, perkara itu telah lama diperjuangkan tetapi kerajaan sebelum ini dilihat tidak melihat keperluan untuk menggubal akta itu sekali gus menunjukkan kerajaan komited dalam melaksanakan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan PH.
“Saya rasakan hari ini satu hari bersejarah. Permulaan proses hari ini adalah hasil persefahaman dalam MoU kerajaan dengan PH (Pakatan Harapan).
“…sepanjang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak melihat keperluan untuk menggubal akta ini, sehinggalah sekarang ia dilihat penting dan perlunya akta ini,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (PBB-Batang Lupar) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan itu pula menyifatkan, pembentangan rang undang-undang pindaan itu sebagai satu hari yang bersejarah untuk negara.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri di atas keutamaan yang diberikan kepada pindaan ini dan ia menjadi hari yang cukup bersejarah.
“Di mana dengan pindaan yang dicadangkan akan memboleh satu RUU Anti Lompat Parti digubal kelak,” katanya.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan, keputusan membentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan itu sebagai satu tahap yang menyenangkan selaras dengan MoU antara kerajaan dan PH.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan menteri kerana ambil langkah terima pandangan dan hormat semangat persefahaman yang dimeterai melalui MoU antara kerajaan dan PH.
“Usaha ini adalah satu tahap yang menyenangkan kerana ini isu yang menarik minat rakyat, melibatkan soal menghormati mandat rakyat dan menolak pengkhianatan kepada mandat rakyat,” katanya.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, beliau kini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan pimpinan Ismail Sabri bersetuju untuk berbahas di Parlimen bagi meminda Rang Undang-undang Anti Lompat Parti bertepatan dengan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lepas.
“Jiwa kita kacau dan sakit begitu lama tak kira di pihak mana yang lompat, bukan bila pihak sana (kerajaan) lompat, kita gembira atau pihak sini (pembangkang) lompat, di sana (kerajaan) pula gembira.
“… Kami dah buat perjanjian MoU (oleh itu) jadilah Perdana Menteri dan buatlah kebaikan untuk rakyat sehingga pilihan raya akan datang… bila kita (pembangkang) tandatangan MoU maka kita ikut dan kita harap Perdana Menteri setakat ini kita lihat Alhamdulillah setia dengan MoU ini,” katanya.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman(Muda-Muar) turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana dapat menyatukan kerajaan dan Parlimen untuk menghalang lompat parti.
Katanya, kesungguhan untuk membawa RUU tersebut diharapkan dapat memperdanakan politik di negara ini dan mengembalikan kuasa rakyat dan bukannya mengutamakan ahli politik.
Sementara itu, Ismail Sabri berpuas hati melihat penyatuan ahli-ahli Parlimen tersebut dan menyifatkannya sebagai satu manifestasi ke arah politik yang lebih sihat dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Blok kerajaan dan pembangkang senada dan harmoni untuk membentuk Kawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meneliti pindaan perlembagaan yang lebih khusus mengenai lompat parti serta mewujudkan Akta Anti Lompat Parti.
“Undi sebulat suara telah diperoleh dengan sokongan semua ahli Parlimen tanpa mengira parti. Malaysia ke arah kestabilan politik yang lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” katanya.