11 APR: Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia jatuh kepada 764,079 tan pada Mac 2022, menyusut 2.60 peratus atau 20,409 tan daripada 784,488 tan pada Februari 2022, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam satu kenyataan hari ini, MPOB berkata, jumlah inventori minyak sawit susut 2.99 peratus bulan ke bulan kepada 1.47 juta tan daripada 1.51 juta tan, dengan inventori minyak sawit yang diproses turun 3.41 peratus kepada 708,731 tan daripada 733,750 tan sebelumnya.
Mengenai pengeluaran MSM, ia meningkat 24.07 peratus kepada 1.41 juta tan pada Mac 2022 berbanding 1.13 juta tan pada Februari 2022.
Pengeluaran isirung sawit meningkat 26.89 peratus bulan ke bulan kepada 359,165 tan berbanding 283,046 tan, dan pengeluaran minyak isirung sawit mentah naik 26.86 peratus kepada 160,693 tan daripada 126,669 tan sebelumnya.
MPOB berkata, eksport minyak sawit meningkat 14.14 peratus kepada 1.26 juta tan pada Mac 2022 daripada 1.10 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala eksport minyak isirung sawit menokok 22.04 peratus kepada 69,221 tan daripada 56,720 tan sebelumnya.
Eksport oleokimia mengukuh 3.22 peratus kepada 235,625 tan daripada 228,272 tan pada bulan sebelumnya, sementara eksport biodiesel susut 64.60 peratus kepada 15,853 tan daripada 44,777 tan sebelumnya. – BERNAMA