12 APR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli sebuah lukisan yang menggambarkan keadaan Dewan Rakyat dipenuhi pelbagai jenis beruk dan katak.
Hanya Speaker dan pegawai Parlimen digambarkan sebagai manusia dalam lukisan itu.
“Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan itu dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” menurut satu hantaran di Facebook, Selangor Royal Office.
Sultan Selangor akan menggantung lukisan tersebut di bilik kerja peribadi baginda.
Lukisan itu memaparkan situasi seperti di Dewan Rakyat dengan seorang lelaki berpakaian seperti Speaker duduk di tempatnya dan dua lagi individu duduk di hadapannya.
Di kiri dan kanan tempat duduk pula kelihatan sekumpulan beruk serta katak dalam pelbagai aksi.
Ia seperti simbolik dengan maksud tingkah laku wakil rakyat yang tidak sepertinya dan ada juga antara mereka yang melompat parti.
Tiada maklumat lanjut berkaitan pelukis dan nama karya satira itu dinyatakan dalam kenyataan Selangor Royal Office.
Lukisan yang dibeli sultan Selangor itu mirip karya artis jalanan Inggeris, Banksy bertajuk Devolved Parliament yang dilelong dengan harga AS$12.2 juta (RM51.64 juta) pada 2019.
Devolved Parliament dilukis untuk menyindir ahli parlimen British.