13 APR: Pengumuman Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LKPU) pada 5 November 2019 yang menetapkan bahawa calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan akan diberikan empat kali peluang untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) dan jika masih gagal dalam tempoh empat tahun berturut-turut, calon tersebut tidak dibenarkan untuk menduduki PSAG lagi dan keputusan ini adalah muktamad.
Sehubungan dengan itu, pada 15 November 2021 LKPU telah mengumumkan bahawa mereka telah membuat keputusan dengan membenarkan calon pengamal undang-undang yang telah kehabisan semua empat percubaan dalam mengambil PSAG mempunyai satu percubaan terakhir untuk menduduki peperiksaan tersebut.
LKPU turut mengesahkan dasar baharu itu akan terpakai kepada calon Sijil Amalan Guaman (CLP) yang mendaftar pada tahun 2017 sehingga tahun 2020.
Meskipun tujuan PSAG dilaksanakan adalah untuk memastikan bahawa lulusan Undang-Undang Malaysia dari institusi luar negara dan juga pelajar yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens atau Pengajian Undang-undang dari universiti tempatan menjalani ujian yang ketat ini untuk memastikan kualiti peguam terjaga.
Dasar had masa yang telah dikeluarkan oleh pihak LKPU jelas bertentangan dengan hak asasi seseorang individu untuk menunaikan hasrat menjadi seorang pengamal undang-undang di negara ini apatah lagi perkara ini juga terkait rapat dengan status calon yang telah bergraduasi daripada sebuah universiti tempatan.
Terdahulu, mantan Ketua Peguam Negara, Tommy Thomas selaku pengerusi LKPU telah menganiaya graduan Undang-Undang daripada dua universiti tempatan yang menawarkan program undang-undang dengan menerima pakai kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada tahap Senior Middle 3 untuk tujuan PSAG mulai Januari 2021.
Kini, Ketua Peguam Negara dilihat seolah-olah tidak mengendahkan rintihan dan keluhan calon-calon pengamal undang-undang.
Peguam yang baik bukan hanya dibentuk dengan menduduki peperiksaan, tetapi merangkumi pelbagai kemampuan holistik seperti advokasi, penggubalan, perundingan dan komunikasi serta kemahiran menyelesaikan masalah mereka.
Dasar had masa yang dikenakan oleh pihak LKPU jelas tidak menyumbang kepada kualiti kepeguaman.
Satu demi satu bebenan yang diberikan kepada golongan anak muda, belum pun selesai melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membayar ijazah mereka, kini, ditambah dengan bebanan dasar had masa yang jelas tidak relevan.
Yang jelas membunuh harapan anak muda mengapai impian.
Pada hemat saya, YB Menteri Undang-Undang seharusnya mengambil peka akan isu ini dan menyediakan jalan penyelesaian yang sewajarnya.
Mahathir Mohd Rais
Ketua BERSATU Bahagian Segambut