13 APR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia untuk membangunkan pusat latihan dan penyelidikan dikenali sebagai Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART) sepertimana dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata saranan itu adalah signifikan dalam memenuhi keperluan daripada segi pembangunan tenaga kerja yang terlatih serta pendidikan dan juga penyelidikan dalam bidang automotif terkini seperti kenderaan hibrid, autonomous, elektrik dan lain-lain.
“Sesuai dengan lokasinya yang strategik dan terletak dalam wilayah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), KPT yakin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ialah pilihan terbaik untuk menjayakan hasrat berkenaan.
“Usaha ini juga mampu menyumbang kepada aspirasi kerajaan untuk menjadikan AHTV sebagai hab kepada pembangunan kereta elektrik, sekali gus mencapai matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), di samping membantu menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Cadangan itu diusulkan Perdana Menteri semalam, bertujuan memenuhi keperluan daripada segi tenaga kerja terlatih, pendidikan dan juga penyelidikan dalam bidang automotif negara.
Noraini berkata, penubuhan pusat latihan dan penyelidikan itu juga dilihat mampu menggalakkan inisiatif industri dalam universiti (inkubator), Program Dua Tahun Universiti dan Dua Tahun Industri (2U2I) dan program pembelajaran sepanjang hayat.
“Daripada segi pelaksanaan, inisiatif ini akan dijayakan dengan kerjasama universiti teknikal yang memiliki kepakaran dalam bidang automotif seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), DRB HICOM University.
“Selain itu, ia juga akan membabitkan mana-mana institusi pengajian tinggi termasuk yang mempunyai kepakaran dalam bidang automotif seperti Automotive Technology Centre (ATeC) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan Centre of Automotive and Manufacturing Technology (POLCAM) di Politeknik Sultan Azlan Shah,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan pusat latihan dan penyelidikan itu diharapkan akan merealisasikan aspirasi usaha sama universiti dan industri seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).