13 APR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berbuka puasa bersama menteri Kabinet, menteri besar, ketua menteri, timbalan menteri serta duta-duta asing di kediaman rasminya di Seri Perdana, di Putrajaya.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 tetamu itu turut disertai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan pegawai tertinggi kerajaan.
Antara yang hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran 35 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez di Gombak, Selangor dan Ismail Sabri turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama mereka.
Beliau kemudian menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah. – BERNAMA