14 APR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan suntikan dos penggalak kedua kepada kumpulan penerima pertama merangkumi warga emas yang mempunyai komorbiditi atau sihat tubuh badan dan pengembara ke luar negara.
Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pengambilan suntikan tersebut adalah atas dasar sukarela.
“Dos penggalak kedua boleh diambil oleh individu berumur 60 tahun dan ke atas, dengan komorbiditi berisiko tinggi dan individu yang mempunyai sistem pertahanan badan berkadar teruk atau sederhana, berumur 12 tahun dan ke atas.
“Syor ini juga termasuk golongan warga emas yang berada di bawah fasiliti penjagaan jangka panjang.
“Bagi individu yang berumur 60 tahun dan ke atas yang sihat dan tidak mempunyai komorbiditi berisiko tinggi, mereka perlu berbincang dengan pengamal perubatan bagi mengesyorkan pengambilan dos penggalak kedua berdasarkan pertimbangan mereka.
“Keputusan ini dibuat selepas Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) meneliti kajian-kajian santifik serta kajian kohort Malaysia yang menunjukkan bahawa individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetis berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius serta kematian berikutan COVID-19,” katanya pada sidang media, hari ini.
Berdasarkan semakan inventori semasa, Khairy berkata KKM mempunyai bekalan sedia ada vaksin jenis Pfizer sebanyak 5.7 juta dos, bagi menampung keperluan suntikan dos penggalak.
Sehubungan itu, katanya, warga emas yang mempunyai komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua, dengan sela masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.
Bagi individu berusia 12 tahun dan mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, jelasnya, golongan berkenaan boleh mendapatkan suntikan dos penggalak kedua, dengan sela masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua (lengkap suntikan primer).
“Buat masa ini, vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) adalah vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik.
“Individu berumur 60 tahun dan ke atas yang lengkap mengambil dos penggalak serta didapati mengalami jangkitan COVID-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua dalam tempoh tiga bulan selepas mereka pulih sepenuhnya.
“Bagaimanapun, pelaksanaan syor terbaharu ini tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua.
“KKM sedang mengemas kini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan pelaksanaan pemberian dos penggalak kedua,” katanya.
Seiring perkembangan semasa dan pembukaan sempadan, Khairy berkata pihaknya menerima permohonan dalam kalangan individu yang ingin ke luar negara untuk mendapatkan dos penggalak kedua, bagi memenuhi keperluan berkaitan.
Sebagai contoh, katanya, sesetengah negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinopharm sebagai dos primer serta dos penggalak, menggariskan syarat pengambilan vaksin primer jenis mRNA.
“Justeru, individu yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selepas sela masa sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama.
“Sehingga 31 Mac lalu, seramai 701 individu menerima sijil digital pengecualian vaksinasi atas sebab perubatan, maka mereka akan mendapat pengecualian dos penggalak secara automatik.