14 APR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini sebulat suara memutuskan untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kata putus itu antara beberapa perkara diputuskan pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Mesyuarat MKT pada petang tadi membuat beberapa ketetapan, termasuk mengenai kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH). MoU yang akan berakhir 31 Julai depan itu diputuskan tidak akan diteruskan lagi.
“Selain itu, pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.
“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seterusnya bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021, Ahmad berkata, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei depan.
Beliau berkata, ia bagi melakukan pindaan terhadap Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.
Pada hari sama, katanya, Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Aidilfitri akan turut diadakan.