Bung Moktar minta MOT tangani isu tambang penerbangan mahal
14 APR : Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Kementerian Pengangkutan campur tangan menangani isu kenaikan mendadak tambang penerbangan yang melambung sehingga dikatakan mencecah 500 peratus, khususnya antara Semenanjung dan Sabah.
Beliau dalam satu kenyataan menyifatkan syarikat penerbangan seolah-olah menghisap darah rakyat kerana mengenakan kadar tambang yang keterlaluan.
Tegasnya, masyarakat di Sabah yang memerlukan pengangkutan udara untuk balik kampung sama ada dari Semenanjung ke Sabah atau sebaliknya sangat dibebani dengan kadar tambang berkenaan.
“Masyarakat dari Sabah mengadu dan mengeluh dengan ‘fenomena’ sebegini, MAS (Penerbangan Malaysia) dan AirAsia dilihat seakan-akan menghisap darah penumpang.
“Bayangkan tiket ekonomi untuk perjalanan sehala saja mencecah RM2,800 dan ada juga harganya hingga RM3,600 untuk satu perjalanan.
“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. MAS dan AirAsia jangan sekali-kali mengaut keuntungan dengan menghisap darah penumpang,” katanya dalam kenyataan teraebut hari ini.
Bung juga mendakwa ramai rakyat Sabah di Kuala Lumpur terpaksa membatalkan hasrat untuk balik kampung sempena Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi kerana tidak mampu disebabkan tambang kapal terbang yang terlalu tinggi.
“Seperkara lagi, AirAsia meletakkan syarat semua penumpang wajib mendaftar masuk melalui mesin yang disediakan dan mana-mana penumpang yang mendaftar masuk melalui kaunter akan dikenakan bayaran RM100.
“AirAsia kena faham di Sabah masih ramai yang tidak memiliki telefon pintar dan pakcik makcik dari kampung masih tidak faham mendaftar melalui mesin yang disediakan,” katanya.
Isu tambang penerbangan yang terlalu tinggi di antara Sabah dan Semenanjung itu turut dibincangkan pada mesyuarat Kabinet negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, semalam.
Hajiji berkata, kadar tambang yang meningkat ketika ini sangat membebankan penumpang yang ke Kuala Lumpur atau ke Sabah. Tindakan syarikat penerbangan mengenakan kadar yang keterlaluan itu juga tidak bersesuaian dengan aspirasi untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah ketika sempadan negara dibuka sejak 1 April lalu.