14 APR : Pesakit warga emas, pesakit memiliki pelbagai komorbid dan masalah sistem imun akan diberi keutamaan ubat antiviral Paxlovid dalam rawatan jangkitan COVID-19.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pesakit yang diberikan skor tiga dan ke atas juga akan diberikan keutamaan untuk rawatan menggunakan ubat antiviral berkenaan.
“Uat antiviral berkenaan perlu dimulakan dalam tempoh lima hari bergejala bagi mencapai keberkesanan yang optimum.
“Sebanyak 104,000 ubat antiviral untuk patient course, iaitu cukup untuk 104,000 pesakit. Bukan semua kena dapat. Yang memenuhi kriteria akan dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini.
Justeru, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Pfizer dari segi perolehan (ubat antiviral Paxlovid) membabitkan 100,000 lagi ubat untuk perolehan kedua.
Jelas Khairy, jumlah kuantiti keseluruhan Paxlovid yang diperoleh oleh KKM adalah sebanyak 104,700 kotak, dengan setiap pesakit memerlukan satu kotak.