14 APR: MCA menyokong penuh keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini yang sebulat suara bersetuju supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau percaya UMNO berbuat demikian selepas membuat analisa dan berpandangan bahawa Ismail Sabri mempunyai kepimpinan yang cemerlang.
Ka Sing berkata beliau memang menyokong kerana keputusan ini dilihat mampu memperkukuhkan dan apa lebih penting ia dapat mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional (BN) seperti sebelumnya.
‘Saya rasa ini adalah satu keputusan diterima baik dan memberi hala tuju yang jelas UMNO dan BN untuk menawan semula Putrajaya pada PRU-15 nanti.
“Saya yakin dengan sokongan rakyat momentum ini dapat kita kekalkan dan melakukan terbaik sekurang-kurangnya mencapai keputusan lebih baik daripada PRU lalu. Kita perlu sama-sama berdoa dan berikhtiar sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran UMNO di PWTC hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menegaskan keputusan itu menunjukkan UMNO kini berada dalam landasan tepat dan bekerja sebagai satu pasukan menuju PRU-15.
Beliau berkata salah satu keputusan penting dibuat dalam mesyuarat MKT hari ini adalah mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Poster Boy UMNO pada PRU-15 nanti.
“Berikutan itu, kita berterima kasih kepada Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana menyokong pencalonan nama Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU-15.
“Ini membuktikan bahawa UMNO sekarang dalam satu pasukan dan perkara utama dalam kalangan individu adalah melihat kepada keutamaan parti politik,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata biarpun Ismail Sabri menjadi sebagai poster boy namun bukan jaminan beliau akan terus menjadi Perdana Menteri apabila BN menang dalam PRU-15 nanti.
“Sebagai contoh, Datuk Hasni Mohamad menjadi poster boy BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini namun apabila menang beliau tidak menjadi Menteri Besar Johor kerana digantikan oleh orang lain.
“Kita tidak mahu bersangka buruk, kalau itu keputusan yang tujuannya baik akan memberi ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk jadi PM pada PRU akan datang.
“Bagaimanapun apabila sudah lepas PRU mungkin ada pula orang pergi sana pergi sini dia pula nak jadi PM, ini mungkin terjadi, jadi saya persoalkan dalam mesyuarat MKT tadi,” katanya.