14 APR: Angka kematian akibat ribut tropika yang melanda Filipina pada hujung minggu lalu meningkat kepada 121 orang, termasuk 81 mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di bandar tengah Filipina, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa pada Khamis.
Jumlah kematian itu termasuk 118 orang di tengah Filipina dan tiga di selatan Filipina – kawasan yang mengalami banjir dan tanah runtuh besar akibat ribut tropika Megi.
Bagaimanapun, Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan melaporkan hanya 76 kematian dan 29 orang hilang setakat ini.
Agensi itu, yang menerima laporan dari wilayah yang terjejas akibat bencana, berkata ia sedang mengesahkan jumlah korban.
Kolonel Polis, Ma Bella Rentuaya, jurucakap polis negara di wilayah Visayas Timur berkata, sehingga Khamis, 113 orang maut akibat tanah runtuh dan banjir di wilayah itu.
Menurut beliau, 81 orang maut dalam tanah runtuh di Baybay City dan 31 lagi mangsa di bandar Abuyog di wilayah Leyte, dan satu di wilayah Samar, sambil menambah lima lagi hilang, dan sekurang-kurangnya 236 penduduk cedera dalam ribut itu.
Megi, yang membadai darat Ahad lalu, merupakan ribut tropika pertama tahun ini yang melanda negara Asia Tenggara itu, yang dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun. Kepulauan Filipina terletak di lingkaran taufan Pasifik, menjadikannya antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.- BERNAMA