15 APR: Polis menahan juragan bot yang karam sehingga menyebabkan lima penumpangnya lemas dan dua lagi masih hilang berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata di Semporna malam tadi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lelaki berusia 64 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kejadian itu.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.
“Pihak polis telah membuat tangkapan jam 12.50 tengah hari tadi dan lelaki terbabit akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kejadian malam tadi, lima disahkan maut, manakala dua lagi masih hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Pulau Timbun Mata.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan mengesahkan lima mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Bunga Basah Nuhalan, 40; Anisa Harimalam, 20; Syawal, 2; Iman, 2; dan Nurul Syafiqah, 4 tahun.
“Lima mangsa yang meninggal dunia dan dua yang hilang itu mempunyai ikatan kekeluargaan,” katanya.
Terdahulu, identiti dua mangsa yang masih hilang disahkan dikenali sebagai Noranis Harimalam dan Aiman, berusia 14 dan tujuh tahun.
Dalam pada itu Norrimi memaklumkan kejadian bot karam itu dipercayai berlaku akibat cuaca buruk serta keadaan ombak besar.
“Ketika ini, lokasi pencarian diperluaskan lagi sehingga 68 batu nautika dari lokasi kejadian.
“Kira-kira 60 anggota penyelamat terdiri daripada Maritim Malaysia, bomba serta Pasukan Polis Marin dan orang kampung, kini giat melakukan pencarian dua mangsa yang belum ditemui. – BERNAMA