Ismail Sabri calon PM tidak dibuat terburu-buru
15 APR: Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tepat dan tidak dilakukan secara terburu-buru.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, keputusan itu dilihat mampu mententeramkan suhu politik negara.
“PRU-15 bila-bila masa sahaja boleh berlaku. Rakyat mahu lihat kestabilan, maka UMNO perlu membuat satu ketentuan politik dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas keterbukaan beliau iaitu sejak hari pertama nama Ismail Sabri dicadangkan sebagai Perdana Menteri pada mesyuarat MKT pada Ogos 2021.
“Ini merupakan kali kedua Ahmad Zahid menarik diri sebagai calon Perdana Menteri yang menunjukkan keterbukaan beliau sebagai pemimpin berjiwa besar,” katanya ketika pemberita hari ini.
Semalam, MKT UMNO sebulat suara memutuskan untuk Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU-15.
Selain itu, MKT UMNO juga memutuskan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.
Menjelaskan perkara tersebut, Ahmad berkata MoU itu tidak akan disambung meskipun terdapat cadangan agar ia diteruskan.
“MoU itu dimeterai untuk menangani penularan COVID-19, tetapi negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dengan kegiatan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya telah berjalan seperti biasa,” katanya.