15 APR : Lebih 500 kedai koperasi atau Coopmart yang diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi akan diwujudkan oleh kerajaan yang berperanan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, penubuhan Coopmart itu bukan sahaja boleh jana dividen untuk ahli koperasi tetapi juga menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
“Gerakan koperasi juga boleh menguasai sebahagian daripada pasaran pemborongan dan peruncitan terutama sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistem yang komprehensif dan bersepadu.
“Sehingga Disember tahun lalu, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan 2,581 koperasi sektor pemborongan dan peruncitan sudah didaftarkan, dengan perolehan melebihi RM820 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancar dan merasmikan Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad, di Putrajaya hari ini.
Tambahnya lagi, koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan.
“Jika semua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosio ekonomi dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara,” ujarnya.