15 APR: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merupakan satu kelebihan kepada parti.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata selain itu, keputusan tersebut juga dapat menghimpunkan sokongan dan dukungan bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO malah rakyat dan parti-parti politik lain.
Beliau turut menyifatkan keputusan itu satu langkah strategik dan tepat untuk membolehkan UMNO menambah kekuatan bagi menghadapi PRU-15.
“Ini kerana parti yang kita boleh anggap parti ‘friendly’ pada Barisan Nasional (BN) pun turut mahu mengetahui perkara sama. Jadi saya ucap tahniah kepada Presiden dan juga MT UMNO kerana membuat suatu penegasan yang tepat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa di Klana Resort, Ampangan hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata UMNO hendaklah sentiasa mengambil kira sentimen dan memenuhi aspirasi rakyat.
Beliau berkata perkara tersebut akan dinilai oleh rakyat dan apabila Perdana Menteri menunjukkan prestasi yang baik, maka ia memberi kelebihan kepada UMNO pada pilihan raya umum akan datang.
“Jadi apa yang dilakukan ini, ia memberikan kelebihan terhadap Perdana Menteri untuk lebih fokus kepada kerja-kerja dan tanggungjawab yang ada sekarang,” katanya.
Semalam, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden parti sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15. – BERNAMA